KES 2: RAKYAT MALAYSIA SUKA BUANG, BAZIR MAKANAN

 


Faktor kes

         Pembaziran makanan di kalangan masyarakat negara ini semakin membimbangkan malah di peringkat kritikal, demikian menurut Ketua Sekretariat MySaveFood, Dr Ainu Husna MS Suhaimi. Beliau merujuk kepada data yang dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada tahun lepas yang menunjukkan sisa makanan adalah komponen pepejal tertinggi dibuang di tapak pelupusan sampah iaitu sebanyak 55%. Rakyat Malaysia dilaporkan membuang tidak kurang 3,000 tan metrik makanan yang masih boleh dimakan setiap hari dan jumlah itu bertambah pada musim perayaan. Pada Ramadan tahun ini, SWCorp merekodkan 615,000 tan metrik makanan dibazirkan.

 

Kesan kes

        Menurut Ainu, pembaziran ini bukan sahaja di peringkat pengguna sahaja tetapi turut berlaku di bahagian pengeluaran makanan seperti di ladang yang dinamakan kehilangan lepas tuai. Kehilangan lepas tuai bagi sayuran dan buah-buahan biasanya mencatatkan antara 20 hingga 50%. Ini jelas memperlihatkan separuh hasil tanaman hilang disepanjang rantaian akibat pengurusan yang tidak mengikut spesifikasi.

 

Solusi kes

             Bagi merungkaikan masalah ini, pihak kerajaan mula memandang serius terhadap penubuhan bank makanan di peringkat kebangsaan selepas penubuhan bank makanan di Pulau Pinang awal tahun ini dengan usahasama Food Aids Foundation. Melihat ia sebagai sesuatu yang positif, Ainu berkata satu rangka kerja khas dicadang dibangunkan untuk menjadi rujukan semua pihak yang berminat membangunkan bank makanan. Ini akan memastikan makanan sampai kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan. Pengalaman melalui MySave@Ramadan, makanan hanya diberikan sebanyak yang perlu mengikut bilangan ahli. Makanan yang dimasak perlu diedarkan serta merta dan edaran juga perlulah bersesuaian seperti sebelum waktu makan. Banyak faktor perlu diambil kira terutama sekali apabila menguruskan makanan yang dimasak seperti lebihan makanan dari restoran serta hotel dan tidak mustahil Malaysia akan mempunyai bank makanan sendiri,” katanya yang berharap MySaveFood akan terus berkembang menjadi satu entiti penting negara dalam usaha mengurangkan pembaziran. Jelas beliau, walaupun inisiatif mewujudkan bank makanan untuk menyelamatkan makanan sangat dialu-alukan namun yang paling penting keperluan membuat perancangan untuk tidak membazir tidak kira di ladang, restoran, hotel mahupun di rumah. Ainu berkata hala tuju MySaveFood seterusnya adalah untuk menjalankan penyelidikan daripada peringkat pengeluaran makanan sehingga kepada pengguna untuk mengenalpasti isu sebenar pembaziran makanan. Grub Cycle yang melakukan kerja sosial melalui bank makanan mempunyai pendekatan berbeza iaitu mengumpulkan barang makanan kering yang hampir tamat tempoh untuk dijual dengan harga yang murah kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Ini dapat mengurangkan pembaziran terutama pasaraya yang menjual barangan keperluan dapur, menurut salah seorang penaung bersama Grub Cycle, Hawanisa Roslan.

 

Pengajaran kes

           Kesimpulannya, tabiat pembaziran makanan amatlah tidak digalakkan kerana ia adalah satu perbuatan yang keji dalam agama islam. Oleh itu, kita sebagai rakyat perlulah sedar dan mendidik golongan yang tidak mengambil perkara ini secara serius untuk mencegah isu ini pada masa yang akan datang dan memberi contoh yang baik pada golongan muda.

 

Rumusan Kes

          Di samping itu, rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat suka menjamu juga harus diberi kesedaran untuk lebih menghargai makanan dan berpada-pada dalam menguruskannya supaya tidak berlaku pembaziran Sempena sambutan Hari Makanan Sedunia yang disambut pada 16 Oktober setiap tahun, diharapkan supaya masyarakat di negara ini menghargai makanan bagi mengelakkan pembaziran dan makanlah mengikut keperluan bukan mengikut nafsu. Ingatlah ramai di luar sana yang tidak cukup makanan malah di sesetengah negara yang dilanda kemarau atau perperangan, ramai yang menderita kerana kebuluran, malah terpaksa mengutip sisa makanan dari sampah atau makan rumput untuk kelangsungan hidup

 

Rujukan ringkas: Bernama, Oktober 17

Comments

Popular posts from this blog

PENGENALAN

KES 5: RUMAH TERBUKA IBARAT PESTA PEMBAZIRAN MAKANAN