Kes 4: Pembuangan 16,680 tan makanan sehari dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahun 2014

 

Faktor kes

            Antara punca berlakunya pembaziran makanan dalam khalayak masyarakat di negara kita adalah sikap masyarakat kita yang gemar berbelanja besar ketika pembelian barang-barang makanan. Kebanyakan dari mereka beranggapan bahawa ia tidak begitu merugikan mereka sekiranya makanan yang mereka telah beli itu dibuang ke dalam tong sampah.

           Selain itu, tiada perancangan rapi yang dibuat oleh masyarakat sebelum mereka keluar membeli barangan dapur. Kesan daripada itu, sesetengah barangan makanan yang dibeli tidar diguna pakai sehingga barang barang pembelian tersebut dilupuskan selepas tarikh luputnya.

           Akhir sekali, sifat tamak haloba masyarakat, lebih-lebih lagi apabila mereka hadir pada majlis-majlis jamuan terbuka serta majlis berbuka puasa. Segelintir besar daripada mereka mengambil juadah yang begitu banyak melebihi kemampuan mereka untuk menghabiskannya. Hal ini disebabkan oleh kehendak mereka yang mengikut hawa nafsu dan perut mereka yang lapar walaupun sedar mereka tidak mampu untuk menghabiskan makanan tersebut. Akibatnya, makanan tersebut semuanya dilupuskan ke dalam tong sampah.

Kesan kes

           Pertama sekali, impak yang paling jelas kelihatan ialah berlakunya pencemaran alam sekitar. Hal ini berlaku sedemikian kerana sisa-sisa makanan mahupun pepejal yang dilupuskan akan mereput dan menghasilkan gas-gas beracun. Antara gas-gas beracun yang dihasilkan termasuklah gas metana (CH4) yang mudah membakar dan gas karbon dioksida (CO2) yang boleh menjadi punca pemanasan global. Kesan daripada itu, bencana-bencana alam yang tidak diingini seperti banjir besar, pencemaran air dan sebagainya berupaya untuk berlaku hasil daripada pembuangan sisa makanan yang besar kuantitinya.

           Selain itu, berlakunya bekalan makanan negara yang terjejas. Apabila permintaan melebihi penghasilan makanan negara, maka harga bekalan makanan seperti beras, gula, tepung dan sebagainya akan semestinya naik mendadak yang akan memerlukan sesetengah daripada bekalan makanan tersebut diimport disebabkan oleh situasi terdesak ini. Kos pengimportan bahan makanan yang tidak menentu juga bergantung kepada factor peningkatan suhu global dan hasil pengeluaran tanaman negara-negara dunia yang berubah.

             Akhir sekali, berlakunya pembaziran wang rakyat. Hal ini disebabkan oleh proses rawatan air larut resap dan gas metana sehingga menepati piawaian memerlukan sejumlah wang yang agak besar dan penghasilan air dan gas tersebut akan berterusan selama berdekad-dekad walaupun tapak pelupusan telah tidak beroperasi.

Solusi kes

            Pihak kerajaan sememangnya memainkan peranan yang signifikan dalam mengatasi masalah pembaziran makanan di negara kita ini. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah Pihak kerajaan melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran Seperti larian kita semula, rekaan poster, penubuhan bank kitar semula di sekolah-sekolah, seminar-seminar dan lain-lain program berkenaan masalah-masalah pembaziran makanan ini.

           Dalam pada itu, pihak kerajaan juga perlu membina tapak-tapak pelupusan sanitari baru, menaiktaraf tapak pelupusan sedia ada, membina loji incinerator dan loji pengkomposan bagi menampung keperluan semasa pengurusan sampah di negara kita.

           Akhir sekali, rakyat terutamanya, perlu berganding bahu dalam menyelesaikan kemaslahatan ini. Rakyat wajarlah menanamkan sikap menghargai makanan dan mendidik anak-anak serta kaum keluarga mereka agar tidak membazirkan makanan. Rakyat perlu mengambil makanan mengikut kuantiti yang mencukupi dan cukup untuk mengenyangkan mereka apabila mereka makan. Mereka juga perlulah menghabiskan makanan yang disimpan tempoh hari di dalam peti sejuk mereka agar makanan yang disimpan tersebut tidak dibuang sekiranya mereka tidak memakannya.

Pengajaran kes

            Oleh yang demikian, setiap individu perlulah menjauhi sikap pembaziran makanan kerana tabiat buruk ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah satu sikap yang amat dimurkai oleh Allah SWT dan salah di sisi agama Islam yang amat menitikberatkan amalan berjimat-cermat serta kebersihan diri dan alam sekitar .

           Allah SWT juga pernah berfirman di dalam surah al-Isra’ ayat 27, yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”. Maka dengan ini, penting untuk kita sedar bahawa amalan pembaziran makanan adalah suatu amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam yang suci murni dan amalan membazir itu adalah amalan syaitan dan iblis yang dimurkai.

            Kita juga perlulah mengambil iktibar dari amalan-amalan buruk ini yang berlaku di sekitar kita setiap hari agar kita tidak terikut dengan sikap golongan-golongan ini. Sebaliknya, kita selaku manusia yang dikurniakan akal hendaklah memakmurkan dan memelihara bumi kurniaan Allah ini dengan sebaik mungkin, bukannya dengan melakukan kerosakan, melakukan pencemaran dan pembaziran makanan.

Rumusan kes

           Dengan ini, dapatlah disimpulkan bahawa pembuangan sampah dan sisa makanan di merata-rata tempat bukan sahaja memberi implikasi buruk kepada kita sahaja, malah alam sekitar di sekitar kita termasuklah flora dan fauna yang wajib dipeliharai dalam memastikan alam sekitar yang bersih dan bebas pencemaran. Oleh yang demikian, kita wajarlah bersama-bersama mengalas tanggungjawab dalam usaha menjaga alam sekitar dengan adanya langkah-langkah pengendalian makanan yang betul.

Rujukan ringkas : Mohd Ariff AB Razak, 2014

 

Comments

Popular posts from this blog

PENGENALAN

KES 5: RUMAH TERBUKA IBARAT PESTA PEMBAZIRAN MAKANAN