KES 5: RUMAH TERBUKA IBARAT PESTA PEMBAZIRAN MAKANAN

Faktor kes

Saban tahun, masyarakat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya dengan mengadakan rumah terbuka. Tidak kiralah rumah terbuka berskala kecil mahupun besar, penganjuran aktiviti ini sering dilakukan dengan gah sekali. Walau bagaimanapuun, disebalik kemeriahan tradisi unik sepanjang bulan syawal ini, isu pembaziran makanan bukan lagi perkara asing, bahkan sudah dianggap biasa dalam majlis rumah terbuka. Ramai juga yang mengabaikan risiko pembaziran makanan yang berlaku selepas tamatnya majlis rumah terbuka tersebut. Persoalannya, apakah yang menjadi faktor kepada tabiat buruk ini?

Jawapannya, nafsu. Tabiat orang kita yang terlalu mengikut nafsu semasa menghadiri majlis itu menjadi punca banyak makanan dibuang, malah yang menyedihkan ada makanan diambil tetamu tidak dijamah pun oleh mereka. Ramai yang rambang mata dan tidak sabar apabila melihat deretan makanan seperti sate, kambing bakar, kuetiau dan mi goreng yang disediakan. Selalu kita lihat seorang tetamu yang mengambil makanan dalam kuantiti banyak seolah-olah tiada lagi hari esok untuknya menikmati ma-kanan berkenaan. Kalau sate sehingga berbelas-belas cucuk dilambakkan di atas pinggan sedangkan jumlah itu tidak mungkin boleh dihabiskannya seorang. Begitu juga dengan kambing bakar sehingga penuh pinggan dengan limpahan sos lada hitam dituangkan. Ada juga yang mengambil ber¬jenis-jenis makanan sehingga akhirnya makanan itu hanya dijamah sedikit dan baki makanan terpaksa dibuang begitu sahaja.

Selain itu, pembaziran makanan ketika mengadakan rumah terbuka juga berlaku akibat sikap penganjur yang menyediakan makanan dalam kuantiti yang terlampau banyak tanpa menghiraukan bilangan para jemputan terlebih dahulu. Hal ini ibarat membuta tuli dalam penyediaan juadah rumah terbuka tersebut dengan senang-wenang memasak secara lambak dan sesuka hati dengan niat “Ah, mesti habis punya lah. Kalau tidak, kita simpan lah buat makan sendiri”. Tetapi, kata-kata ini bakal menjadi sebaliknya apabila makanan yang tidak habis akan menjadi tidak termakan suatu Ketika nanti dan akhirnya dibuang ke dalam tong sampah jua.

Kesan kes

Pertama sekali, kesan yang akan dihadapi penganjur ialah pembaziran wang. Sudah terang lagi bersuluh apabila setiap cebis makanan yang dibuang, ia dihasilkan melalui hasil titik peluh dan wang yang dibelanjakan lalu ia dilesapkan begitu sahaja. Tambahan lagi, majlis rumah terbuka akan disudahi dengan timbunan sisa makanan yang berakhir di dalam beg plastik sampah. Tabiat buruk sedemikian menyumbang kepada penghasilan sisa makanan yang besar di negara ini saban tahun. Rakyat negara ini dianggarkan membuang lebih 8,000 tan makanan sehari, iaitu jumlah yang boleh menampung keperluan tujuh juta orang. Sampah dari sisa makanan merupakan penyumbang terbesar sisa pepejal yang dihasilkan di negara ini. Pembaziran makanan secara berterusan juga boleh mengakibatkan jaminan bekalan makanan negara terjejas. 

Selain itu, sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah akan melalui proses pereputan yang seterusnya menyumbang kepada penghasilan gas rumah hijau. Dianggarkan, penghasilan gas rumah hijau dari tapak pelupusan sampah sebanyak 12 peratus daripada jumlah keseluruhan penghasilan gas rumah hijau di Malaysia. Sisa makanan yang mereput di tapak pelupusan sampah juga punca utama pelepasan gas metana. Gas ini didapati 21 kali ganda berbahaya daripada gas karbon dioksida dan menjadi gas perosak lapisan ozon yang utama. Gas berbahaya ini menyumbang kepada perubahan iklim dunia dan pemanasan global. Sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah juga menjadi penyumbang kepada pencemaran udara. Selain bau busuk sisa makanan, gas metana yang terhasil daripada proses pereputan sisa makanan di tapak pelupusan sampah juga boleh menyebabkan berlakunya letupan jika dibiarkan terkumpul dalam permukaan tanah yang tertutup. Udara yang tercemar ini boleh menjejaskan tahap kesihatan awam. Pembaziran makanan bukan sahaja memberi kesan ke atas alam sekitar dan kesihatan, sebaliknya turut membabitkan isu pembaziran perbelanjaan harian dan isi rumah serta implikasi kos kepada negara.

Solusi kes

Usaha mengurangkan pembaziran makanan akan menjadi lebih berkesan sekiranya bermula dengan kita sebagai seorang pengguna. Ambillah makanan secara berpada-pada supaya tiada juadah yang dibazirkan kerana setiap suap yang dibuang mampu mengenyangkan mereka yang terpaksa berlapar disebabkan oleh kemiskinan dan kekurangan makanan. Mereka sewajarnya tidak rambang mata semasa mengambil juadah yang dihidangkan. Ambil juadah dengan berpada-pada daengan tidak mengikut nafsu dan kelaparan semata-mata. Ambil dalam kuantiti yang sedikit terlebih dahulu, kemudian ambil lagi jika ingin tambah. Hal ini juga akan memberikan hak adil dan sama rata kepada pengunjung lain untuk dapat merasakan makanan tersebut juga.

Bagi pihak penganjur, mereka perlu memastikan penyediaan juadah adalah memadai dengan jumlah jemputan. Sebagai contoh, mereka haruslah membuat anggaran jumlah kehadiran tetamu terlebih dahulu sebelum melakukan penyediaan juadah rumah terbuka. Penganjur mestilah bijak dan menggunakan rasionaliti semasa membeli bahan-bahan mentah untuk memasak dan tidak berlebihan supaya tidak berlakunya pembaziran. Penganjur juga haruslah mengelakkan sikap riak dengan tidak menyediakan terlampau banyak pilihan makanan dengan niat ingin menunjuk-nunjuk. Hal ini telah menjadi salah di sisi agama Islam dan menjadi suatu perkara yang terkutuk dan dilaknat Allah. Sebaiknya, besederhanalah dalam penyediaan juadah rumah terbuka supaya menepati jumlah kehadiran tetamu dan dapat memenuhi citarasa setiap individu dengan penuh barakah. 

Pengajaran kes

Oleh yang demikian, setiap daripada kita perlu menjauhi sifat membazir kerana tabiat ini bukan sahaja amalan syaitan, malah merugikan diri sendiri dan negara.  Hal ini penting untuk diberi perhatian oleh kita. Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Allah SWT menyifatkan orang yang suka membazir sebagai saudara syaitan. Allah SWT berfirman bermaksud: ‘Sesungguhnya orang yang melakukan pembaziran adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (Surah al-Isra’, ayat 27). Dalam ayat yang lain, Allah SWT menggariskan panduan kepada manusia dalam soal makan dan minum supaya tidak berlaku pembaziran. Firman-Nya yang bermaksud: ‘…dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebih-lebihan” (Surah al-A’raf, ayat 31).

Rumusan kes

Jelaslah bahawa kes ini bukanlah suatu kes yang luar biasa, tetapi suatu kes yang sering kita lihat pada setiap tahun. Masalah ini tidak akan dapat diatasi dan menjadi semakin kritikal jika masyarakat masih enggan mengubah sikap dalam aspek pengambilan makanan. Situasi ini boleh dielakkan sekiranya rakyat Malaysia lebih prihatin dengan hanya memakan makanan yang diperlukan. Kalau mengambil makanan di rumah terbuka, ambil dalam kuantiti yang boleh dihabiskan. Memang tujuan rumah terbuka diadakan untuk menjamu selera tetamu, namun berpada-padalah, jangan tamak sehingga membazir.

 

Comments

Popular posts from this blog

PENGENALAN